Terang Bulan

Lagu Terang Bulan (ejaan lama: Trang Bulan atau Terang Boelan) merupakan lagu yang diambil dari lagu kebesaran negeri Perak dan dipopularkan oleh kumpulan Bangsawan dari Hindia Timur Belanda yang dipentaskan di Singapura sekitar 1920-an dan 1930-an. Lagu ini merupakan lagu kegemaran ramai pada ketika itu. Lagu ini juga sangat laris dalam kalangan penduduk Hindia Timur Belanda (kini Indonesia), dan telah dijadikan sebagai lagu rakyat di sana. Bersama-sama Allah Lanjutkan Usia Sultan, Terang Bulan adalah sebuah lagu saduran daripada irama "La Rosalie" yang telah dicipta oleh penggubah Perancis, Pierre Jean de Beranger (1780-1857).

Lagu ini telah diperkenalkan oleh sebuah kumpulan pancaragam Perancis yang mengadakan persembahan di Pulau Mahé yang terletak dalam Kepulauan Seychelles. Ketika Sultan Idris dari Perak melawat England pada 1888, ia disedari bahawa Perak tidak mempunyai lagu kebangsaan. Pembantu peribadi sultan (Aide-de-camp), Raja Mansur ibni Sultan Abdullah, enggan mengaku bahawa Perak tidak mempunyai lagu kebangsaan dan dengan itu membunyikan lagu yang didengarinya dari Seychelles, melodi yang asalnya ditulis oleh Pierre Jean de Beranger. Selepas itu dia memberitahu Sultan mengenainya, dan Sultan memperkenankan lagu itu sebagai lagu kebangsaan Perak. Liriknya ditulis oleh Raja Ngah Manur bin Raja Abdullah.

Raja Muda Raja Abdullah telah menulis seni kata lagu "Allah Lanjutkan Usia Sultan" yang disesuaikan dengan irama lagu Pierre Jean de Beranger dan kemudian menjadikannya sebagai lagu rasmi Negeri Perak Darul Ridzuan. Irama lagu ini kemudiannya telah dipilih sebagai irama lagu kebangsaan negara Malaysia, Lagu Negaraku.


From Wikipedia, the free encyclopedia · View on Wikipedia

Developed by Tubidy